Pertama: Niat yang Ikhlas kerana Allah s.w.t. semata-mata.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengiklaskan ibadah kepadaNya.
Sebagai seorang da’i, hendaklah memahami bahawa, kita diciptakan untuk beribadah kepada Allah s.w.t.. Di antara Ubudiyyah kita kepadaNya ialah dengan ketaatan kita kepadaNya. Dakwah dan Amr bil Ma’ruf wa An-Nahyu ‘An Al-Munkar merupakan salah satu daripada tanggungjawab dan tugas setiap muslim. Oleh yang demikian, seseorang hamba Allah s.w.t. perlulah mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t., semata-mata kerana Allah s.w.t., bukan untuk mendapatkan habuan dari keduniaan, mendapat kemasyhuran, mendapat kedudukan di sisi manusia dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : “Upah apa pun yang aku minta daripadamu maka itu untukmu. Upahku hanyalah dari Allah dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Saba’ : 47)
Kedua: Jauhi ‘Ujub dalam Berdakwah
Menurut Bisyr Al-Hafi ujub ialah “menganggap hanya amalanmu saja yang banyak dan memandang remeh amalan orang lain.” Ujub ialah satu sifat merasa seronok dengan diri sendiri, merasa diri sendiri baik, dan menisbahkan kebaikan tersebut kepada diri kita sendiri.
Ujub merupakan salah-satu sifat yang paling tercela kerana, seseorang yang menisbahkan kebaikan kepada diri sendiri, seolah-olah mengkufuri nikmat Allah s.w.t. kepadanya, kerana pada hakikatnya, Allah s.w.t.lah yang menjadikannya sebagai seorang insan yang baik dan mengizinkannya untuk berdakwah di jalan Allah s.w.t..
Perlu diketahui oleh para pendakwah bahawa tugas dakwah yang di lakukan adalah merupakan ketentuan dari Allah s.w.t. kebaikan dan ketaatan yang dilakukan semuanya adalah anugerah Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah!) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (Surah An-Nur : 21)
Ketiga: Dakwah dalam Tawadhuk dan Hindari Takabbur
Tawaduk dari segi bahasa bermakna merendahkan diri, tidak angkuh atau sombong. Dari segi istilah pula: tunduk dan akur kepada segala kebenaran dan menerima kebenaran itu. Merendahkan diri, tidak angkuh, patuh, setia, taat (dlm mengerjakan sesuatu) Rasulullah s.a.w. sebagai contoh yang paling agung. Rasulullah s.a.w. sentiasa mempamerkan sikap rendah diri, walhal Baginda s.a.w.-lah yang merupakan sebaik-baik manusia. Syeikh Ahmad Ibn ‘Athaillah dalam kitab al-Hikam menyenaraikan empat tanda tawadhuk iaitu:
1. Tidak marah apabila dimaki.
2. Tidak benci apabila dicela atau dituduh sombong.
3. Tidak haloba pangkat dan darjat di kalangan orang ramai.
4. Tidak rasa dirinya termasuk orang yang disegani dalam hati setiap orang
Pandanglah orang-orang Islam dengan mata rahmat (kasih sayang) walaupun kepada si pelaku maksiat. Apabila kita lihat sesuatu maksiat datang dari seseorang, maka anggaplah pada hakikatnya orang itu lebih baik dari kita, dan dia pada hakikatnya sempurna akhlaknya, melainkan hanya satu maksiat tersebut sahaja yang mengurangkan kesempurnaannya.
Keempat: Aqidah yang Sejahtera
Antara ciri-ciri seorang pendakwah yang rabbani ialah, memiliki iman dan aqidah yang sempurna. Ini kerana, keimanan, keyakinan kepada Allah s.w.t., kefahaman yang sebenar tentang hakikat sesuatu dan kemantapan aqidah Islamiyah merupakan kekuatan yang paling utama dalam menempuhi ranjau di sepanjang jalan dakwah.
Seseorang pendakwah perlulah beriman kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar iman, jesteru metahqiqkan makna muroqobah dalam diri yang merupakan nadi ihsan seseorang muslim. Pendakwah hendaklah sentiasa merasai kehadiran Allah s.w.t. di sisinya, yang sentiasa mengawasi dan memerhatikannya, dan merasai kebersamaan Allah s.w.t. yang sentiasa memberi rahmat kepada para hambaNya yang berdakwah di atas jalanNya.
Kefahaman yang sempurna mengenai hakikat di sebalik sesuatu juga perlu ada pada setiap pendakwah yang rabbani, dengan memahami konsep tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaan dan keizinan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, pendakwah akan memahami bahawa, dakwah dan usaha pembaikan yang dilakukannya sebenarnya tidak memberi kesan kepada perubahan, tetapi sebaliknya Allah s.w.t.-lah yang Maha Berkuasa dalam memberi kesan perubahan, samada dengan perantaraan usaha dakwah kita ataupun tanpa perantaraan tersebut.
Kelima: Bekalan Ilmu yang Mencukupi
Skop dakwah amat luas. Oleh yang demikian, seseorang perlu berdakwah di lapangan yang sesuai dengan tahap ilmu dan akal yang dimilikinya. Hal ini amat penting khususnya dalam membentuk pengagihan bidang tugas dalam sesuatu pergerakan tajdid dan islah.
Setiap orang perlu memainkan peranan dalam menyampaikan apa yang diketahuinya, dan banyak bertanya tentang apa yang tidak diketahuinya. Menghindari permasalahan khilafiyah dan furuciyah, perkara-perkara bidcah dan yang boleh menimbulkan perselisihan di kalangan madcunya sebelum menguasai bidang ilmu agama yang mantap. Sentiasa haloba untuk menuntut dan menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang agama khususnya melalui system pendidkan agama yang terpercaya
Keenam: Mempunyai Matlamat yang Jelas
Seorang pendakwah mesti mempunyai matlamat yang jelas di hadapannya iaitu untuk menegakkan agama (Iqamatuddin), melakukan pembaikan (islah) dan mencegah semua bentuk kemungkaran, mengajak manusia mengamalkan Islam dalam segenap sudut kehidupan mereka dan memurnikan semula umat Islam dengan mengembalikan mereka kepada identiti Islam yang sebenar.
Ketujuh: Mengutamakan Perkara-perkara Prinsip (Usul) dari perkara-perkara (Furu’)
Seseorang pendakwah perlulah pandai membezakan antara yang Usul dan yang furu’ dalam agama, agar mereka tidak terjebak dalam kancah pembaziran waktu, dalam sibuk berdebat mengenai perkara-perkara furu’ (yang sememangnya merupakan satu lapangan yang banyak perselisihan pendapat, dan tidak perlu berdebat) dan mengabaikan perkara-perkara usul.
Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dalam Gagasan idea Usul 20 cuba menampilkan satu pelan damai dalam meredakan peperangan pemikiran antara kedua-dua pihak yang sering bertelagah dalam menegakkan pendapat masing-masing . Begitu juga, budaya mengutamakan furu’ dari usul ini turut dikritik Dan dibidas oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam pelbagai penulisan beliau, samada secara jelas mahupun secara sindiran.
Kelapan: Bersifat Memaafkan dan Terbuka
Seorang da’i yang menyedari diri sendiri bukanlah yang terbaik, akan terdedah untuk menerima teguran, kritikan dan nasihat kerana dia menyedari bahawa, dia juga selaku manusia yang serba kekurangan, perlu dinasihati oleh orang yang lain juga, kerana kadang-kadang, aib yang kita tidak nampak pada diri kita oleh diri kita sendiri, didapatinya orang lain. Teguran dari saudara yang ikhlas juga merupakan hadiah darinya buat kita yang perlu dihargai.
Kesembilan: Husnu Zhon dan Berbuat Baik Sesama Muslim
Seseorang da’i perlulah bebaik-baik sangka sesama muslim, apatah lagi bersifat sedaya-upaya menganggap orang lain lebih baik dari kita. Ini kerana, sifat ini merupakan kunci kekuatan ukhuwah Islamiyah. Imam An-Nawawi r.a. mengatakan bahawa: “Jika seseorang muslim itu berkata dengan satu lafaz yang mendatangkan 70 makna yang membawa kepada syirik, dan membawa 1 takwil yang bersesuaian dengan syariat, maka pakailah ta’wil tersebut sebagai usaha husnu zhon sesama muslim.”
Ini kerana, hanya Allah s.w.t.-lah yang Maha Menghukum, sedangkan kita sebagai para hambaNya merupakan para penyeru manusia kepadaNya. Jadi, apa yang dimaksudkan oleh seseorang dari perkataan mereka, cukuplah Allah s.w.t. yang menghukumnya, dan kita cubalah sedaya-upaya mentakwilkannya dengan menyesuaikannya dengan syarak, selagi ada ruang untuk itu.
Kesepuloh: Bersikap Terbuka dan Tidak Fanatik dan Bepuak-puak
Sesungguhnya, jemaah-jamaah, kumpulan haraki, dan pertubuhan-pertubuhan dakwah dan islah yang pelbagai, tidak boleh dijadikan alasan untuk mewujudkan budaya berpuak-puak kerana seluruh umat Islam adalah bersaudara.
Walaupun berbeza manhaj, tetapi seluruh golongan tajdid ini membawa matlamat yang satu, iaitu, untuk memurnikan semula umat Islam. Jadi, tidak perlu wujud satu bentuk berpuak-puak atau jamaah centric dalam dunia kampus mahupun di luar kampus. Jamaah-jamaah dan pertubuhan-pertubuhan hanyalah alat untuk menyampaikan dakwah, bukanlah matlamat dakwah itu sendiri.
Kesebelas: Tabah dan Sabar Dalam Menghadapi Ujian
Ketabahan dan istiqomah inilah yang merupakan kunci terakhir untuk mendapat kejayaan di sisi Allah SWT. Betapa ramai orang ang ingin lahir sebagai pendakwah namun akhirnya kelayuan sebelum sempat untuk berkembang . Allah SWT berfirman yang bermaksud :
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali-Imran, 142)
Keduabelas: Tidak Berputus Asa dan Sentiasa Beristiqomah.
Berputus asa terhadap sesuatu kegagalan atau kesulitan bukanlah ciri-ciri seorang yang baik. Ini kerana, jalan dakwah sentiasa memerlukan kesabaran yang tinggi dan berusaha untuk mengatasi segala kesukaran yang dihadapi. Rasulullah s.a.w. berada di Mekah selama 13 tahun untuk berdakwah terus-menerus walaupun baginda sering dihina dan disakiti. Sesungguhnya, jika kita kumpulkan seluruh kesusahan yang kita alami ketika ini dan dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. ternyata kita berada amat jauh di belakang. Ketabahan dan istiqomah inilah yang merupakan kunci terakhir untuk mendapat kejayaan di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud :
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali-Imran, 142)
Sebenarnya, di sebalik pelbagai ujian dan musibah yang melanda, di sepanjang jalan dakwah dan kehidupan, ada mengandungi pelbagai rahsia kelembutan Allah s.w.t., yang difahami oleh ahli Allah s.w.t..
Ketiga belas: Bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan agama Allah.
Bersungguh-sungguh yang dimaksudkan adalah sebagaimana seorang mujahid yang melawan musuh di medan peperangan. Ini dilakukan dengan menyeru sekalian manusia ke arah melaksanakan perkara-perkara yang baik (amar ma’ruf) dan mencegah daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah.
Hal ini, Allah s.w.t. amat menyukai seseorang yang bersungguh-sungguh dan beristiqomah dalam melakukan sesuatu amal kebaikan dan ketaatan, apatah lagi dalam usaha dakwah yang merupakan salah satu ibadah yang paling tinggi kedudukannya dalam Islam.
Keempat belas: Mengutamakan kepentingan Islam.
Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”
Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud;
“Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”
Kelima belas: Memiliki Akhlak yang Terpuji
Seseorang muslim dan pendakwah yang sejati, dia mestilah berakhlak dengan akhlak-akhlak mahmudah dan meninggalkan sebarang akhlak-akhlak mazmumah, kerana ia merupakan teras kebahagiaan seseorang dalam menggapai redha Ilahi s.w.t. Akhlak yang mulia merupakan satu gambaran kesempurnaan Rasulullah s.a.w. yang sentiasa hidup dalam jiwa seseorang insan yang beriman, di mana seseorang yang berakhlak mulia dari sudut rohani mahupun jasmani, bererti dia sentiasa bersama dengan Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. hidup di dalam kehidupannya seluruhnya.
Kebersamaan dengan Rasulullah s.a.w. dalam konteks adab dan akhlak, merupakan satu nilai kemuliaan hidup yang utama di dalam menempuh hari-hari yang mendatang selaku hamba Allah s.w.t. di dalam muka bumi ini, justeru ianya juga merupakan satu pakej lengkap bagi seseorang da’i dalam menyampaikan dakwahnya kepada orang lain. Ini kerana, dakwah bil hal (dakwah dengan menunjukkan contoh yang baik) itu lebih memberi kesan positif kepada sasaran dakwah, berbanding dakwah bil maqal.
KESIMPULAN
Sejujurnya para pendakwah perlu kembali menilai diri sendiri dan cuba menyesuaikan gerak kerja dakwah yang di lakukan selama ini dengan apa yang dilakukan oleh baginda saw. Bermula dari kerja dakwah secara fardiyah maupun secara jamac6.i, mengutamakan prinsip-prinsip rabbani yang telah dijelaskan agar keberlangsungan gerak kerja dakwah benar-benar menepati gaya gerak kerja Rasulullah saw.
Pendakwah yang rabbani tidak seharusnya merasakan keperluan dakwah itu kerana beliau adalah lebih baik atau lebih sempurna dari orang lain, tetapi berdakwah adalah kerana kepentingan dan tanggungjawab yang ditentukan kepada setiap muslim. Sebagaimana saranan Allah s.w.t. agar saling nasihat-menasihati antara sesama muslim, bukan atas dasar kelebihan dan kesempurnaan dari orang lain.
Isnin, 7 September 2009
ciri-ciri pendakwah yang rabbani
Created by MarzukiLabels: dakwah
Subscribe to:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan