Selasa, 28 Oktober 2008

berpakaian tetapi telanjang

Disabdakan oleh Nabi s.a.w. dalam satu hadis: "...dan orang-orang perempuan yang berpakaian (tetapi) bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang- lenggok), kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meninggikan gumpalan rambut mereka dengan berhias-hias) , mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati baunya..." (Sahih Muslim).
Merupakan dua perkara yang sangat bertentangan apabila kita melihat konteks hadits tersebut iaitu berpakaian tetapi telanjang, kadang-kadang mungkin agak sukar untuk kita membuat penterjemahan, antara telanjang dan berpakaian. Ini kerana kebiasaannya antara kedua perkara ini sememangnya bertentangan. Atau mungkin maksud hadits tersebut seperti yang dapat kita lihat sekarang ini, dimana-mana sahaja dipelusuk Negara kita. Lihat saja gadis-gadis remaja kita (walaupun bukan niat nak tengok pun) yang berpakaian seluar ketat atau singkat atau londeh mempamerkan jenama seluar dalam? Atau T-shirt singkat 'nampak pusat' atau sendat menampakkan bentuk dada yang tidak bersarung? Atau mewarnakan rambut dengan 'kaler berkarat' atau ‘hijau berlumut’?
Para ulama memberikan beberapa definisi berkenaan maksud hadis ini. Antaranya adalah: Pertama, dikatakan mereka berpakaian daripada nikmat Allah tetapi 'bertelanjang' daripada mensyukurinya iaitu tidak bersyukur.
Kedua, dikatakan ia membuka sebahagian anggota tubuhnya dan mendedahkannya secara zahir.
Ketiga, dikatakan ia memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulitnya atau pakaian yang ketat menampakkan bentuk badannya.
Pada zaman ini, kita dapat melihat kebenaran yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis ini. Barangkali agak sukar untuk digambarkan keadaan tersebut pada zaman itu. Kerana Nabi s.a.w. menyatakan dalam hadis yang sama: "...aku belum pernah melihat mereka ini." Ertinya pakaian seumpama itu belum ada pada zaman jahiliah Arab dan para sahabat juga tentu tidak dapat membayangkan keadaan tersebut. Berpakaian telanjang?
Bagaimana boleh disatukan dua perkataan yang berlawan maksudnya ini?
Perkara ini memang sewajarnya dijadikan peringatan untuk masyarakat kita sebagai satu renungan. Apa yang menyedihkan ialah golongan wanita ini mengaku diri sebagai Muslimah. Sama ada mereka berpakaian dengan mendedahkan terus anggota tubuh atau pun mereka mengenakan pakaian yang sempit dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh. Kedua-duanya adalah bertentangan dengan akhlak Islam di mana seorang Muslimah dituntut supaya menutup aurat dengan sempurna.
Sebahagiannya pula merasakan sudah memadai dengan memakai tudung atau menutup kepala itu sudah dikira menutup aurat. Mereka mendedahkan anggota tubuh yang lain seperti leher, dada, lengan, kaki atau berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh seperti buah dada, pinggang, punggung, paha dan betis. Inilah yang dikatakan 'bertelanjang' !
Kejahilan adalah faktor utama yang menyebabkan mereka tak dapat memahami keutamaan dalam memelihara aurat. Sesungguhnya aurat yang zahir daripada anggota tubuh tersebut adalah lebih berperanan untuk menarik perhatian lelaki dan menaikkan nafsu syahwat berbanding dengan hanya menutup rambut atau kepala.
Perbuatan mendedahkan bahagian tubuh ini adalah lebih keji daripada mendedahkan rambut atau kepala. Bagaimanapun ini bukanlah hujah untuk membenarkan golongan wanita mendedahkan rambut atau bahagian kepalanya serta memperlekehkan wanita lain yang bertudung. Jumhur ulama berpendapat kesemua anggota tubuh perempuan adalah aurat dan wajib ditutup kecuali bahagian muka dan dua telapak tangan. Persoalannya teruk sangat ke jadi perempuan, atau susah ke jadi perempuan?... pepatah mengatakan, nak senang bukan senang, nak susah bukan susah. Dunia hanya sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Jadi…renung-renungkan lah dan fikir-fikirkan.

0 comments: