"Bismillahirrahmannirrahim,
Yang Berbahagia,
Datuk Abdul Khalil Bin Abdul Hamid
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)
Yang Berbahagia
Dato' Hj Imran Bin Idris
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Yang Berbahagia,
Tuan Haji Mokhlis Bin Jaafar
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Politeknik
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Yang Berusaha,
Encik Azhari Noor Bin Ahmad
Timbalan Pengarah (Akademik)
Politeknik Sultan Azlan Shah
Yang Berusaha,
Encik Yaakob Bin Hasrat
Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik)
Politeknik Sultan Azlan Shah
Pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti,
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Pengajian Politeknik dan
Kolej Komuniti,Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Ahli Jawatankuasa Pengurusan
Politeknik Sultan Azlan Shah
Ahli Jawatankuasa Penasihat
Politeknik Sultan Azlan Shah
Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Teknik dan
Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia
Datuk-datuk, Datin-datin, Ibubapa, Para Graduan serta
para hadirin yang dihormati sekelian…
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat. PSAS amat mengalu-alukan dan berbesar hati di atas kesudian Yang Berbahagia Datuk Ab. Khalil bin Ab. Hamid kerana dapat meluangkan masa untuk menjayakan majlis Konvokesyen Kali Ketiga Politeknik Sultan Azlan Shah. Semoga majlis pada hari ini akan berjalan dengan lancar. Insya Allah.
Y.Bhg Datuk dan hadirin sekalian,
Pada Majlis Konvokesyen kali ini, PSAS sekali lagi berjaya melahirkan seramai 1476 orang graduan daripada bidang Kejuruteraan Awam, Elektrik, Mekanikal dan Perdagangan. Tahniah kepada para graduan di atas daya usaha, kegigihan dan kesabaran dalam mengharungi dunia pembelajaran dan ternyata segala usaha dan pengorbanan akhirnya membuahkan hasil. Saya percaya majlis yang gilang-gemilang ini merupakan titik permulaan bagi anda untuk menabur bakti dan berbudi kepada Agama, Bangsa dan Negara.
Syabas dan tahniah juga kepada semua ibubapa dan kaum keluarga di atas usaha, pengorbanan, sokongan dan dorongan yang diberikan kepada anak-anak ini sehingga berjaya melakar sejarah peribadi dalam hidup mereka. Kepada para graduan siapalah anda tanpa ibu dan bapa serta ahli keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan anda semua.
Para hadirin sekalian,
Sepanjang tahun 2007 PSAS telah memperoleh pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai bidang. Dari aspek akademik, peratus kelulusan pelajar PSAS adalah sebanyak 99.19 % pada sesi Julai 2007. Sebanyak 22.52 % pelajar telah mencapai PNM melebihi 3.50 pada sesi Julai 2007. Analisis data peperiksaan juga menunjukkan sebanyak 10.53 % peratus pelajar mencapai HPNM melebihi 3.50. Faktor penyumbang bagi kecemerlangan ini boleh dikatakan berpunca daripada sokongan semua warga kerja terutama pensyarah yang kompeten serta kemudahan prasarana yang lengkap yang membolehkan pelajar belajar dalam suasana yang kondusif.
Selain kecemerlangan akademik, kecemerlangan para pelajar PSAS dalam bidang sukan dan kokurikulum juga terserlah apabila menjadi johan dan naib johan dalam Pertandingan Orienteering Negeri Perak; menjuarai acara Protokol dan Etiket dan acara Pertolongan Cemas; memenangi tempat kedua keseluruhan dalam Perkhemahan Tahunan Polibriged Politeknik Semalaysia Kali Ke-2 dan menyandang naib johan bagi acara Hoki Perempuan di Sukan Bitara UPSI.
Pelajar PSAS juga telah berjaya sehingga pusingan kedua di dalam Pertandingan Robocon 2008 yang dianjurkan oleh SIRIM di UKM. Selain itu, pelajar PSAS juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah Al-Quran dan Pidato Bahasa Inggeris di POLISAS Kuantan. Terkini, PSAS amat berbangga kerana hasil kajian dan inovasi bertajuk “Smart Lamp” oleh 2 orang pelajar DKA 6 telah menjadi Johan Kebangsaan Projek Diploma Kejuruteraan Awam (PRODIKA) yang dianjurkan di UTHM, Johor.
Di samping itu, pelajar PSAS turut didedahkan dengan program-program berbentuk kemasyarakatan seperti kegiatan perlawanan persahabatan dengan pasukan hoki Daerah Batang Padang, Sungkai; Minggu Sukan bersama Masyarakat; Program Khidmat Masyarakat di Kampung Kelawar; Program Anak Angkat Kampung Terong; Taiping, Program Khidmat Masyarakat di RKS Pos Bersih, Ulu Slim dan lain-lain program yang dirangka sepanjang tahun.
PSAS juga turut mengadakan Majlis Gotong Royong dan Jamuan Pelajar Luar Kampus dengan Masyarakat Setempat, kempen derma darah, kursus kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Ceramah Motivasi Bermuzikal Pelajar bermasalah disiplin dan akademik yang dapat meningkatkan bakat kepimpinan pelajar dan memupuk budaya sosial yang positif.
Y.Bhg Datuk dan hadirin sekalian,
PSAS juga sentiasa memantau pencapaian bekas pelajar-pelajarnya melalui Kajian Pengesanan Graduan. Berdasarkan kepada kajian yang dilaksanakan pada tahun 2007, sebanyak 48.1 peratus graduan telah bekerja berbanding 39.9 peratus pada tahun 2006. Sebanyak 34 peratus graduan bekerja dalam kumpulan juruteknik dan profesional , 28 peratus graduan terlibat dalam bidang perkeranian, 14 peratus dalam sektor perkilangan dan 24 peratus dalam kumpulan pekerjaan utama yang lain. Ini menunjukkan bahawa graduan PSAS di peringkat sijil dan diploma “amat laris” di pasaran kerja khususnya berkaitan kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pada Disember 2007, PSAS melakarkan kejayaan dengan penganugerahan sijil MS ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. . Pengiktirafan daripada SIRIM ini bertujuan untuk memastikan PSAS menjadi salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang terulung di Malaysia.
Selain daripada itu, bagi memantapkan lagi kualiti program-program yang ditawarkan PSAS juga dalam usaha untuk mendapatkan akreditasi program daripada Malaysian Qualification Agency bermula tahun ini. Sekiranya PSAS berjaya mengorak langkah ini, secara tidak langsung PSAS akan menjadi salah sebuah hab kecemerlangan pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia . Insyallah.
Para graduan dan hadirin sekalian,
Saya berharap bahawa anda akan terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga PSAS atas sumbangan yang diberikan dalam menghasilkan graduan yang berkualiti. Kepada para pensyarah, terima kasih kerana berjaya melakarkan kejayaan buat PSAS bagi melahirkan para graduan pada hari ini dan teruskanlah usaha murni anda dalam mendidik para pelajar sekalian.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada para graduan PSAS yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang. Kepada ibubapa sekalian, syabas saya ucapkan kerana memberi galakan terhadap anak-anak di dalam membuat pilihan mengikuti kursus-kursus kemahiran di sini.
Saya berharap agar kejayaan mereka pada hari ini akan menarik lebih ramai lagi belia-belia lepasan sekolah mengikuti program latihan berasaskan kemahiran bagi menjamin negara kita mempunyai bekalan tenaga separuh mahir yang berterusan. Kepada Yang Berbahagia Datuk Ab. Khalil bin Ab. Hamid, sekali lagi PSAS mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Berbahagia Datuk untuk merasmikan Majlis Konvokesyen PSAS kali ketiga ini.
Tidak lupa juga beribu penghargaan kepada pihak urusetia yang bertungkus lumus menjayakan majlis Konvokesyen PSAS pada kali ini. Saya berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar kita semua diberi taufik dan hidayah-Nya serta di dalam perlindingan-Nya selalu, Insya Allah.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Selasa, 29 Julai 2008
Teks Ucapan Pengarah Sempena Konvo kali ke3 PSAS (PICC)
Created by MarzukiLabels: PSAS
Subscribe to:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan