Jumaat, 19 Mac 2010

Demokrasi: Falsafah, Perkembangan dan Kritikan

Oleh: Prof.Madya Dr.Abdul Ghafar Don


Secara etimologinya istilah demokrasi berasal daripada perkataan Greek ‘demos’ dan ‘kratia’ yang bermaksud ‘people’ (rakyat) dan ‘rule by’ (pemerintahan). Dalam Merriam Webster’s Collegiate Dictionary demokrasi merujuk kepada ‘ a government by the people’ (p.307). Kedua-dua definisi tersebut memberi konotasi bahawa demokrasi adalah kerajaan yang diperintah rakyat.
Demokrasi sebagai satu sistem yang muncul di Barat, tidak terpisah perbincangannya dengan sistem politik, kerana ia adalah sebahagian daripada sistem politik itu sendiri. Ini dapat dilihat dari pandangan yang dikemukakan tokoh-tokoh sains politik Barat.
St.Augustine (354-430 AD) misalnya yang memperkenalkan ‘theory of two swords’ mencadangkan pemisahan bidang kuasa antara gereja dengan negara. St. Thomas Aquinas (1225-1312) pula mencadangkan negara diletak di bawah bidang kuasa gereja.
Idea pemisahan agama dan politik Machiavelli (1469-1527) pula menyediakan asas kepada konsep nasionalisme dan demokrasi. Dalam mencapai matlamat politik, Machiavelli mencadangkan kepada raja (the prince) untuk menggunakan kuasa, penipuan dan pembunuhan (force, fraud & mass-killing) dan sebarang tindakan jahat/kejam untuk memperolehi, mengekal dan melebarkan kekuasaan.
Teori yang dikemukakan Machiavelli ini turut disokong dan didokong oleh Thomas Hobbes (1558-1679) di mana beliau dianggap sebagai ‘the father of atheists’. Hobbes, seperti Machiavelli percaya kepada sistem monarki. Beliau mendokong idea ‘social contract’ yang berpendapat ketaatan yang mutlak kepada pemerintah adalah perlu (absolute obedience to the sovereign).
Teori absolute obedience sepert yang dikemukakan Machiavelli & Hobbes tersebut telah disanggah Jean-Jacques Rousseau (1712-1778). Beliau mengemukakan konsep ‘general will’. Rousseau dalam ‘Social Contract’ nya berpendapat setiap individu menikmati kebebasan (freedom & liberty) kerana “ in giving himself to all, each person gives himself to no one’ [dalam memberi dirinya kepada semua orang, setiap orang sebenarnya tidak memberi apa-apa kepada sesiapapun]. Gagasan pemikiran Rosseau ini sebenarnya menjadi landasan kepada gagasan pemikiran tentang demokrasi yang dibincang oleh lain-lain tokoh Barat kemudiannya.

Edmund Burke (1729-1797) adalah antara tokoh yang dianggap melalui idea-ideanya menyumbang kepada prinsip demokrasi meskipun beliau tidak percaya kepada ‘popular rule’ (pemerintahan popular) kerana beliau menolak prinsip liberal demokrasi. Leon P.Baradat berhujjah Burke cenderung kepada prinsip-prinsip demokrasi kapitalis (capitalistic democratic principles).
Perkembangan seterusnya menyaksikan lahirnya tokoh-tokoh yang cenderung kepada idea ‘demokrasi liberal’. Antaranya ialah Thomas Jefferson (1743-1826), John Stuart Mill (1806-1873), Jeremy Bentham, Thomas Hill Green (1859-1952). Jefferson dalam ‘The Declaration of Independence’ misalnya mengemukakan konsep ‘life, liberty and the pursuit of happiness’, iaitu idea tentang konsep kebebasan dan persamaan dari segi peluang. Stuart Mill juga mendokong idea persamaan peluang dalam pendidikan, iaitu tentang kesamaan ataupeluang wanita yang samarata dalam semua bidang dalam bukunnya ‘On Liberty’. Dewey pula melihat peluang persamaan di dalam politik dan perundangan.
Demokrasi yang lahir di Barat ini telah dikritik oleh tokoh-tokoh Barat sendiri. Rousseau, meskipun gagasan pemikirannya menjadi inspirasi kepada pemikiran demokrasi telah mendedahkan kelemahan sistem ini. Sikap rakus dan tamak manusia boleh membawa kepada kekejaman. Beliau berpandangan demokrasi yang sebenar hanya mungkin jika rakyat/orang ramai adalah baik seperti Tuhan. Beliau mengatakan “Where there a people of God, their government would be democratic. So a perfect government is not for men” (Jika di sana ada manusia Tuhan, kerajaan mereka akan menjadi demokratik. Jadi kerajaan yang sempurna bukan untuk manusia)
Leon P.Baradat mengkritik demokrasi dengan menyatakan: “ a government which sacrifices nobility for mediocrity’ (Sebuah kerajaan yang mengorbankan kemuliaan untuk kesederhanaan/kerendahan).
Sebagai sebuah system yang lahir di Barat dan dieksport ke Timur, tokoh-tokoh sarjana Islam telah berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap demokrasi. Iqbal misalnya melihat demokrasi dari dua dimensi. Pertama dari sudut sifat atau cirri. Iqbal berpandangan “freedom, equality and election” adalah sesuai dengan Islam pada tahap tertentu sahaja. Sebagai contoh, beliau menegaskan, di dalam Islam meskipun kepentingan individu terikat dengan kepentingan masyarakat, individu diberi kebebasan yang cukup bilamana perlu dalam membangunkan personalitinya. Beliau berhujjah, teori demokrasi Barat juga memelihara kepentingan masyarakat dalam menyediakan persekitaran yang kondusif kepada individu bagi pembangunan mereka sebagaimana yang difahamkan di dalam Islam.
Namun demikian, dari dimensi kedua, Iqbaltelah mengkritik demokrasi dari sudut praktis dan asas sekularnya. Dalam hal ini, Iqbal yang melihat /hidup semasa penjajahan British di India menyedari polisi double-standard British tentang ‘liberty’ dan ‘equality’ terhadap dirinya dan Negara yang dijajah. Beliau menjelaskan jika demokrasi bermaksud untuk memberi kebebasan dan kemerdekaan sebenar kepada semua manusia, membenarkan manusia menikmati semua hak-hak asasi manusia berdasarkan tradisi-tradisi mereka, menghormati semua budaya dan tamadun di seluruh dunia dan membenarkan mereka bangun dan maju, ia adalah sukar untuk menyatakan faktor yang sebenar bahawa bukan sahaja Britain, tetapi Barat seluruhnya yang mencetuskan demokrasi, telah tidak melaksana dan mengikutinya secara jujur. Dengan nada yang lebih sinis, Iqbal menyatakan:
“Whether it is a question of human rights or the issue of exporting democracy, the West has never followed it as a mission for its own sake but only for its own self interest of promoting its imperialistic agenda” (sama ada ia persoalan hak-hak asasi manusia ataupun isu tentang pengeskportan demokrasi, Barat tidak pernah mengikutinya sebagai satu misi untuk kepentingannya sendiri, tetapi hanya untuk kepentingan mempromosi agenda imperialistiknya).
Iqbal juga menolak demokrasi yang asasnya adalah secular dan berorientasikan material. Dengan berorientasikan materialism, Iqbal menyatakan bahawa Demokrasi Barat cenderung kepada membebaskan diri daripada nilai-nilai moral dan etika.
Fazlur Rahman yang mengutip pandangan Iqbal menjelaskan “ The essence of his (Iqbal’s) criticism is that Western Democratic societies aim only at accomplishing material ends, and that the average Western man is devoid of any vision of a higher moral social order”.
Sementara itu, tokoh ulamak kontemporari, Dr. yusuf al-Qaradawi berpandangan,demokrasi adalah selaras dengan semangat Islam jika bertujuan menegakkan keadilan melalui jaminan hak golongan minority menyuarakan pandangan dan lain-lain. Namun demikian, jika demokrasi dirujuk kepada suara terbanyak itu menjadi sumber hukum dan rujukan, ia jelas bertentangan dengan semangat Islam. Islam tidak melihat dari perspektif demokrasi tersebut dalam soal penetapan hukum. Islam tidak melihat kepada suara terbanyak, tetapi melihat kepada esensinya; benar atau salah.
Altaf Guahar pula menyatakan bahawa demokrasi Barat adalah sebahagian daripada institusi secular yang mengalami keruntuhan. Beliau mengistilahkan situasi ini dengan istilah ‘institutional collapse’. Kebobrokan ini sebenarnya berpuna daripada system ini yang dibina di atas asas dualism dan materialistic institusi secular Barat atas apa sahaja nama.
Berkaitan dengan isu ini, Prof. Hamid Algar mengkritik sesetengah orang Islam yang menganggap sesetngah ideology termasuk rationalism, demokrasi, kerajaan berparlimen, kebebasan wanita adalah Islam, malah dalam bentuknya yang paling sempurna.
Berdasarkan pandangan-pandangan yang dikemukakan tersebut, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa demokrasi Barat telah dikritik oleh tokoh-tokoh di Barat sendiri dan juga tokoh-tokoh Islam. Kritikan tokoh-tokoh Barat lebih cenderung kepada kelemahan dan ketidakupayaan demokrasi menyelasai masalah-masalah berkaitan masyarakat dan Negara. Manakalah kritikan tokoh-tokoh Islam adalah berkisar kepada prinsip, falsafah, sumber dan orientasi demokrasi yang sekularistik dan materialistic.

0 comments: