Rabu, 20 Januari 2010

PENGARUH HEDONISME TERHADAP GOLONGAN REMAJA

PENDAHULUAN
Kemunculan aliran pemikiran dalam Islam berkembang pesat dengan kemasukan falsafah Greek pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Kemasukan aliran ini bukan sahaja meresap masuk dalam pemikiran tokoh-tokoh Islam malah turut mewujudkan beberapa disiplin ilmu khususnya dengan kelahiran ilmu kalam.(Mohd Fauzi Bin Hamat, 1997:175) Kesan dari kelahiran ilmu ini, maka terbentuklah dua aliran aqidah yang bententangan antara satu sama lain. Aliran tersebut merangkumi aliran al-Muctazilah dan al-Asyacirah (Mohd Fauzi Bin Hamat; 176).
Walaupun pengaruh falsafah Greek atau lebih tepat lagi pemikiran barat dapat dimurnikan tokoh-tokoh Islam seperti Imam al-Ghazali, namun aliran pemikiran ini kemudiannya menular masuk dalam pelbagai bentuk selepas jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah. (Ramli Omar, 1999: 139) Aliran pemikiran barat ini bukan sahaja menjadikan akal sebagai tunjang utama malah cuba memisahkan agama dari kehidupan manusia. Hal ini dapat dilihat dengan rosaknya agama Yahudi dan Nasrani apabila diresapi fahaman falsafah yang pelbagai sehingga menolak peranan wahyu.( Zulkifli Haji Ismail, 2002 : 159).
DEFINISI TAJUK
Hedonisme menurut pengertian kamus dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994:448) Manakala Drs Sudarsono dalam bukunya Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja terbitan Bina Aksara pula mengatakan Hedonisme sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan kelazatan atau nikmat (Mohd Ghazali Md Nor, 2007:41) Dalam Erti kata lain mereka beranggapan bahawa kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup. Jelasnya pernyataan ini sangat bertentangan sekali dengan tujuan penciptaan asal manusia, sebagaimana firman Allah:
وَمَا خَلَقتُ ٱلجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلَّا لِيَعبُدُونِ ﴿٥٦﴾
Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Q.S. Az-Zariyaat : 51)
Menyoroti sejarah, fahaman Hedonisme didokong Aristipus (433-355 B.C), salah seorang murid Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya mengatakan yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan, hal ini terbukti kerana sudah sejak masa kecil manusia berasa tertarik akan kesenangan dan apabila telah menikmatinya, ia tidak mencari sesuatu yang lain dan menjauhkan diri dari ketidaksenangan (Muhammad Raqi Bin Mohd Shapien, 2006:50)
Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus (341-270 B.C) dengan mengatakan tujuan hidup untuk kesenangan dan kedamaian. Dalam fahaman ini, Epicurus menekankan bahawa kebaikan tidak mungkin akan difahami andainya kita menolak unsur kelazatan dalam hidup kita termasuk kelazatan indera rasa, cinta serta kelazatan lain yang dapat dilihat dan didengar oleh penglihatan dan pendengaran. Bahkan asas kepada segala kebaikan adalah kelazatan yang dirasai perut sehinggakan ilmu, kebijaksanaan, budaya, dan tamadun umat manusia mesti merujuk kepadanya. Manakala kelazatan minda pula dikatakan sinonim dengan proses berfikir tentang kelazatan-kelazatan yang dicapai oleh unsur fizikal tersebut.
Remaja adalah seorang manusia yang berusia antara 14-21 tahun. Pada usia tersebut mereka sangat naif terhadap apa-apa perkara, mereka selalu ingin mencuba semua yang ada di dunia ini tanpa memikirkan akibatnya di masa yang akan datang.(Ramlah Yong; 2006)
HEDONISME DAN KAITANNYA DENGAN PENGARUH SEKULARISME
Pada masa kini, Kemunculan aliran sekularisme yang secara jelas bersifat anti agama dan berasaskan budaya hawa nafsu (Rahimin Afandi Abd. Rahim, 2004: 213) sedikit banyak menghancurkan pemikiran umat Islam. Menurut Muhammad Naquib al-Attas Sekularisme bermaksud pembebasan manusia dari segi agama dan metafizik (Azhar Hj Mad Aros, 2000: 216) Ia juga dapat didefinisikaan sebagai satu ideologi atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam setiap aspeknya selain dari ibadah keagamaan di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran, dan nilaian duniawi semata-mata. Dalam erti kata lain ajaran ini menolak ukuran agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara disamping menjadikan pemenuhan tuntutan duniawi sebagai matlamat tertinggi dan sebenar manusia.( Zulkifli Haji Ismail:257)
Akibat dari menjadikan akal sebagai tunjang utama kehidupan, timbul pelbagai aliran pemikiran dalam masyarakat mengikut acuan yang tersendiri seperti Komunisme, Kapitalisme, Libelisme, Pluralisme dan Hedonisme. Hedonisme adalah budaya yang lahir daripada asas sekularisme yang menolak dominasi fahaman agama dalam kehidupan manusia (Badlihisham : utusan Malaysia) Sekiranya diteliti hedonisme merupakan salah satu cabang fahaman Sekularisme. Ajaran Sekularisme telah meletakkan lima prinsip utama sebagai neraca dalam alirannya (Mohd Ghazali Md Nor : 57) prinsip-prinsip sekularisme adalah seperti berikut:
1. Prinsip Vetalisme menekankan apa-apa yang berbentuk kuat dan menguntungkan dari segi kebenaran akan dianggap baik.
2. Prinsip Kreativiti meletakkan sesuatu yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baru akan dianggap sabagai baik dan bermutu.
3. Prinsip Relative pula menekankan tidak ada sesuatu konsep dan pemahaman terhadap sesuatu fakta atau teori yang bersifat mutlak dan kekal. Sebaliknya semuanya boleh berubah mengikut perubahan zaman dan perkembagan ilmu pengetahuan
4. Prinsip Hedonisme pula menggariskan apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik , manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap buruk
5. Prinsip terakhir pula menganggap majoriti masyarakat sebagai pemutus. Aliran ini menganggap pilihan majoriti adalah baik.
Secara kesimpulannya, Hedonisme menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan, mengutamakan aspek keseronokan diri seperti memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, bermain muzik, berhibur di kelab-kelab malam dan sebagainya. Keseronokan ini diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini sedikit sebanyak bertepatan dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan manusia bebas dari unsur ketuhanan. Selain itu, keseronokan yang diputuskan oleh individu boleh menyebabkan penentangan antara satu-sama lain. Sebagai contoh seorang individu menganggap membunuh adalah perkara yang menyeronokkan manakala seorang individu lain menganggap ia sesuatu perkara yang menakutkan. Jadi, secara jelas konsep pemikiran hedonisme tidak relevan digunakan dalam hal ini kerana boleh mewujudkan pertentangan pemikiran.
Islam Dan Hedonisme
Islam sangat memandang berat pemikiran-pemikiran yang cuba menganggu umat Islam. Hal ini kerana sekiranya pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan aqidah umat Islam. Sedangkan Aqidah berfungsi sebagai tonggak seluruh perancangan hidup manusia khususnya yang menyentuh aspek perancangan ummah (Mohd Fauzi bin Hamat, 2002: 13)
Firman Allah dalam kitab suci Al-Quran:
كُلُّ نَفسٍ۬ ذَآئقةُ ٱلمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّونَ أُجُورَكم يَوْمَ ٱلقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدخِلَ ٱلجَنَّةَ فَقَد فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلحَيَوٰةُ ٱلدُّنيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ الغُرُورِ ﴿١٨٥﴾

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Q.s. Ali Imran: 185).
يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ۬ وكُلُواْ وَٱاشرَبُواْ وَلَا تُسْرِفُوٓاْ‌ۚ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ ٱلمُسرِفِينَ ﴿٣١﴾
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Q.S. Al-A’raf : 31)
Sesungguhnya Islam tidak pernah melarang dan menghalang ummatnya dari berseronok dan hidup senang, bahkan Islam menggalakkan umatnya untuk berhias ketika ingin beribadah, namun Islam menghalang ummatnya dari berlebih-lebihan dan malampaui batas. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sewaktu fasa pertama dakwahnya di Makkah menekankan keburukan hawa nafsu dan menyeru manusia mengamalkan akhlak terpuji. Sewaktu Islam mula berkembang di tanah Arab, gejala buruk seperti minum arak, pelacuran dan berfoya-foya di kalangan masyarakat Arab Jahiliyah begitu ketara. Hanya selepas Islam bertapak kukuh perkara itu dapat dibendung dan diatasi. Islam juga mengajar penganutnya melakukan perkara yang berfaedah dan menjauhi perkara yang sia-sia dengan mengemukakan konsep semua perbuatan akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak.
فَمَن يَعمَلۡ مِثقَالَ ذَرَّةٍ خَيرً۬ا يَرَهُ ۥ ﴿٧﴾ وَمَن يَعمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ ﴿٨﴾
Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)(8)
(Q.S. Al-Zalzalah : 7 – 8)
Malah dalam hadis yang diriwayatkan, Rasulullah bersabda yang bermaksud bahawa Islam itu adalah pekerti yang terpuji. Hadis itu dengan jelas mengajar umat Islam bahawa sebarang pekerjaan atau sikap yang bertentangan dengan nilai dan norma agama akan mendapat balasan seksaan di akhirat dan terkeluar dari ajaran agama.
Firman Allah lagi:
وَمَا ٱلحَيَوٰةُ ٱلدُّنيَآ إِلَّا لَعِبٌ۬ وَلَهوٌ۬‌ۖ وَلَلدَّارُ ٱلأَخِرَةُ خَيرٌ۬ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ‌ۗ أَفَلَا تَعقِلُونَ ﴿٣٢﴾
Maksudnya: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Q.S.Al-An’an :32)
Lazimnya, perbincangan mengenai akidah akan turut melibatkan persoalan Iman. Konsep Keimanan adalah mengenai individu yang mempunyai akidah yang benar dan mempunyai tiga elemen penting merangkumi pegangan kuat berasaskan keyakinan, wujudnya unsur ketundukan yang tulus dalam sanubari manusia terhadap apa yang diimaninya dan yang terakhir adanya unsur cetusan atau rangsangan dalaman dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di dalam diri dan di alam kenyataan dengan berusaha untuk menyelaraskan seluruh aktiviti hidup hariannya berasaskan nilai-nilai keimanan tersebut. Ini kerana individu tersebut tidak boleh bersabar melihat segala aktiviti hidup dilangsungkan berasaskan bentuk dan kaedah yang bertentangan dengan asas-asas keimanan yang terpendam jauh dan kental dalam hati sanubarinya. ( Mohd Fauzi bin Hamat : 16)
ISU YANG SERING DIKAITKAN DENGAN HEDONISME
Di bandar-bandar besar sekarang juga banyak tempat berseronok-seronok dan tidak hanya berupa tempat pelacuran, malah ada juga café dan bar, salon dengan service plus dan sebagainya. Nampaknya hedonisme mendapat tempat yang cukup tinggi dikalangan masyarakat. Bahkan masyarakat sekarang dikatakan sebagai masyarakat yang mengagung-agungkan kenikmatan jasmani, dengan kata lain memuja perwatakan hedonisma itu sendiri.
Hampir semua permasalahan sosial yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini adalah mempunyai kaitan yang rapat dengan aliran fahaman ini, Mohd Murtadha dalam tulisannya “Budaya hedonisme sebagai satu ancaman baru kepada masyarakat” (Muhd Murtadha:2008) mengenai kajian beliau berkaitan masalah sosial dalam majalah mastika bermula Jun – Ogos 2008, menggariskan beberapa isu, antaranya:
1. Sukakan Kebendaan (Skim Cepat Kaya)
Sejak akhir-akhir ini terlihat seolah-olah ada kecenderungan masyarakat untuk hidup mewah, bergaya dan berhibur secara berlebih-lebihan. Di rumah misalnya, segala kelengkapannya seperti perabot dan perlatan elektrik mestilah yang serba moden dan canggih; kalau kenderaan pula, bukan sahaja dari jenama yang terkenal, tetapi juga ia harus dilengkapi dengan pelbagai aksesori “latest accessories” yang memperlihatkan kehebatan pemiliknya; begitu juga dengan pakaian, harus dari jenis yang berjenama dan bergaya; dan kalau bersantai ataupun berhibur, harus pula di tempat-tempat yang ada kelas. Dan pengaruh budaya hidup serupa inilah yang menyebabkan masyarakat terus dibebani hutang. Keinginan untuk hidup mewah dan bergaya inilah juga yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan kes terlibat dengan Skim Cepat Kaya sejak kebelakangan ini.
Maka tidak menghairankan kita bilamana bangsa melayu antara golongan yang paling ramai terlibat dengan skim cepat kaya (Irffan Khairi.com: 2008), satu kes, seorang mangsa sanggup mengeluarkan RM100.000 kepada seorang artis setelah dijanjikan pulangan pelaburan sebanyak 50 peratus. Bagaimanapun apabila mangsa cuba menunaikan cek imbuhan daripada syarikat artis berkenaan, pihak bank memberitahu tarikh cek tidak matang, ia tidak boleh ditunaikan dan tiada wang dalam akaun syarikat itu. (Aniza Zainuddin, harian metro : 2010) keinginan untuk mendapat keuntungan yang besar dengan kerja yang sedikit membuat ramai dikalangan remaja terlibat dalam skim ini tanpa memikirkan kebenaran apalagi halal atau haram.
2. Pemerkosaan / Rogol
Jenayah yang tidak pernah lekang dari paparan Media Massa ini semakin hari semakin meruncing, Penyelaras Masjid, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hasan dalam forum bertajuk 'Masalah Sosial, Cabaran Masa Kini' anjuran Masjid Permatang Sungai Dua dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Butterworth menjelaskan terdapat peningkatan sehingga 300 peratus, Jelasnya, pada tahun 2007 kes rogol mencatatkan 1,241 manakala tahun 2008 meningkat kepada 4,959 kes. Sementara untuk Kes anak luar nikah pula daripada tahun 2000 sehingga bulan Julai 2008 berjumlah 257,411 orang yang mana nisbah 94 orang dilahirkan sehari semalam. (Mohd Sabri Said: 2008) tidak termasuk yang tidak direkodkan.
Laman web Perisik rakyat, 4 jan 2010 melaporkan kes rogol yang berlaku sepanjang tahun 2000 sehingga julai 2009 adalah seperti berikut:


Antara kes-kes rogol yang dilaporkan di dada-dada akhbar;
Harian Metro; (19 jan 2010): Haid selamat mangsa samun diperkosa
“Bagai dirasuk syaitan, tiga penjenayah bukan saja menyamun seorang jururawat, malah mereka turut melakukan seks oral berhampiran sebuah kedai perabot di Kampung Pandan, dekat sini, Jumaat lalu. Malah, kumpulan lelaki itu turut memaksa mangsa melakukan hubungan seks, namun ‘hajat’ itu tidak kesampaian apabila mangsa datang haid menyebabkan semua suspek membatalkan keinginan mereka.
Mangsa yang ketika itu dalam keadaan bogel disuruh memakai kembali pakaiannya sebelum diminta beredar jika tidak mahu dibunuh selepas mereka berang dengan keadaan mangsa yang datang haid. Menurut sumber, mangsa yang berusia 30-an itu pada mulanya memandu berseorangan selepas pulang dari pasar malam di Cheras kira-kira jam 2 pagi sebelum keretanya ditahan seorang lelaki yang bertanyakan arah jalan.”
(Berita Harian : 7 Nov 2009) Amah dakwa dirogol abang majikan
“KUALA LUMPUR : Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dirogol abang majikannya selepas dia menolak ajakan untuk mengadakan hubungan seks dengan lelaki itu, baru-baru ini.
Sumber berkata, lelaki terbabit ‘meminjam’ pembantu rumah berusia 25 tahun itu daripada adiknya kononnya bagi membantu membuat persediaan kenduri di rumahnya pada 23 September lalu. “Suspek berusia 40-an didakwa beberapa kali mengajak wanita itu mengadakan hubungan seks ketika dalam perjalanan dari rumah adiknya di Wangsa Maju ke rumahnya di Bangi. “

(Berita Harian : 08/11/2009) Rogol anak, nikah emak

“PETALING JAYA: Seorang juruteknik dihukum penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam, atas dua tuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, 10 hari sebelum bernikah dengan ibu remaja berkenaan, lima tahun lalu. Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi tuduhan pertama manakala tuduhan kedua pula enam tahun ke atas Hamdan Ahadluddin, 49.”

3. Wanita dan Seks
Berteraskan hak dan asasi manusia segelintir muda mudi kini seolah-olah agak susah untuk ditegur apalagi dibimbing, Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa (Malaysia), Dr Rubiah Hamzah, berkata senario yang berlaku dalam negara ketika ini apabila kebanyakan remaja “hilang rasa malu apabila melakukan aktiviti seks bebas”. Kes anak luar nikah diburukkan lagi dengan laporan yang terbaru mengenai amalan seks bebas remaja hari ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 hingga September. (sumber: berita semasa, 2009)
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!
Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM. (berita harian : 2009)
Pecahan mengikut Negeri
Selangor = 12,836 orang Negeri Sembilan = 4,108 orang Kelantan = 1730 orang
Perak = 9,788 orang Pahang = 3,677 orang Perlis = 691 orang
K. Lumpur = 9,439 orang Kedah = 3,496 orang Sarawak = 617 orang
Johor = 8,920 orang Pulau Pinang = 3,412 orang Terengganu = 574 orang
Sabah = 8,435 orang Melaka = 2,707 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

Sumber: berita harian online

4. Hiburan
Antara tunggak utama fahaman hedonism ini adalah hiburan yang melalaikan. Punca permasalahan ini pastinya terletak pada Media sebagai penggerak utama hiburan kepada peminatnya. Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan yang sangat banyak kepada aspek hiburan. (Ummu Wafa : 2010).
Kebarangkalian yang boleh difikirkan adalah mengapa berita artis, rencana hiburan dan skandal seks diberikan ruang yang begitu meluas, dengan gambar-gambar yang besar dan menggunakan banyak ruang, tajuk-tajuknya yang besar, adakah kerana ianya lebih ’selamat’? berbanding berita berunsurkan politik, sosial atau jenayah misalnya. Remaja di sogokkan dengan ungkapan “jauhkan politik”, “politik kotor” “politik hanya untuk orang politik” dan semacamnya lagi, namun hiburan yang sememangnya melalaikan remaja di lambak-lambakkan. Pelbagai bentuk hiburan yang cuba diketengahkan melalui beraneka slot hiburan. Dari rancangan berbentuk reality, konsert-konsert jalanan hingga ke konsert yang di taja oleh badan-badan kerajaan. Konsert karnival Jom Heboh, ada juga konsert-konsert yang lain terus dijamukan kepada masyarakat kita di atas pelbagai nama dan tema, dianjurkan oleh pelbagai pihak dan syarikat. Konsert sempena sambutan tahun baru, konsert sambutan hari kebangsaaan dan bermacam lagi. Contoh lain ialah Konsert Inspirasi TV3 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Pesta Malam Indonesia 3, Rockaway ’09 dan terdapat 6 konsert lain yang dianjurkan sempena Festival Muzik KL 2009 yang bermula dari 1-10 Julai 2009. Selain dari itu budaya Hedonisme juga mendapat tempat yang cukup baik bila TV3 sanggup mengeluarkan sejumlah wang bernilai USD100.000.00 untuk tempat pertama sebuah pertandingan reality TV dan anggaran untuk hadiah sahaja bagi semua pemenang adalah sebanyak RM 7 juta ringgit (Azamin Amin, Harakah daily: 2007)
Apabila program-program hiburan sebegini dilambakkan, kesannya minda masyarakat akan banyak dibentuk dengan hiburan. Generasi muda yang diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan yang melampau-lampau. Mereka lebih ghairah dan bersemangat untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang semuanya berkaitan dengan hiburan. Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ianya turut berjangkit kepada golongan mahasiswa mahasiswi di institut pengajian tinggi. Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti para remaja zaman ini.
5. Gangterisme
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah, berkata dianggarkan lebih kurang 100,000 orang kebanyakannya belia India, terlibat dalam pelbagai kegiatan gengsterisme. Sambil menyifatkan ia sebagai gejala sosial yang serius, menurutnya, laporan akhbar hampir saban hari menyebut pembabitan pemuda keturunan India dalam aktiviti gengsterisme dan jenayah lain. (Sumber, Utusan Malaysia: 2009)
Gangsterisme bermaksud kelakuan yang memusnahkan/merosakkan yang dilakukan secara berkumpulan. (myhealth.gov.my : 2006) kebiasaannya kegiatan gengsterisme ini meliputi; Merompak, menyeluk poket, terlibat dalam lumba haram (rempit), mencuri kereta, mengedar dadah, minum arak, terlibat dalam seks rambang, mengugut peniaga-peniaga kecil untuk memberi wang perlindungan bagi menjamin keselamatan mereka, bergaduh, buli dan sebagainya. Penglibatan golongan ini semakin hari semakin serius sehinggakan mereka mula menular ke sekolah-sekolah sehingga timbul kes-kes ugutan dan buli sesama pelajar, dalam hal ini kementerian pelajaran mengambil langkah drastik yang konsisten bagi menangani sindrom gengsterisme ini dengan cara mengadakan subjek khusus untuk meningkat displin pelajar dan juga mewujudkan talian “hotline” terus ke pejabat Menteri Pelajaran bagi menerima segala aduan untuk memudahkan tindakan yang perlu diambil segera oleh pihak atasan. (Adnil Mohd : 2001)
Kes-kes yang melibatkan gengsterisme ini, antaranya:
1. Mungkin kita masih belum lupa peristiwa kematian adik Muhammad Farid Ibrahim, pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Agama Datok Klana Petra Maamor, Empangan yang berlaku sekitar tahun 2004, dimana Allahyarham dikatakan meninggal akibat dipukul oleh pelajar-pelajar senior.(Mohd Khairul Hidayat Berahim:2009) Menurut sumber, sebelum kejadian, Muhammad Farid dikatakan dikejutkan dari tidur oleh sekumpulan pelajar senior di bilik asramanya sebelum diheret ke tandas.
Di tandas, kumpulan pelajar senior mengikat kaki dan tangan mangsa sebelum menghentak kepalanya dengan baldi. Mereka turut menendang dan menumbuk mangsa sehingga dia (mangsa) tidak bermaya. Dia yang teruk dibelasah tanpa mampu melawan parah dan darah membasahi pakaiannya. Melihat keadaan mangsa yang tidak bermaya, kumpulan pelajar senior membawanya ke bilik semula (Ahmad Nazri Mohamad : 2004)
2. Begitu juga kes yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Sungai Besi, Muhd Hadzrin bin Mohamad yang meninggal akibat dibelasah rakan sekolah pada Febuari 2009. (Al-Amin bin Mohamed Sultan : 2009) mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, kira-kira jam 1 pagi. Mangsa di belasah oleh 24 orang pelajar lelaki pada jam 9.30 pagi 13 febuari akibat daripada perebutan wanita. (Muhd Faiz Zaini: 2009)
6. Penagihan Dadah
Penagihan dadah yang hingga kini di anggarkan lebih 400,000 remaja Islam terjebak dalam jenayah ini, mengikut statistic yang diperolehi dari laman web PEMADAM, memaparkan statistik Jan – Dis 2005 serta profil penagihan dadah di Malaysia mengikut kategori:
(1) Taburan penagih menurut negeri- Pulau Pinang berada pada kedudukan teratas
(2) Jumlah penagih mengikut status kes - kes ulangan lebih tinggi peratusnya
(3) Profil penagih mengikut jantina - lelaki lebih ramai, hampir 98% kes baru adalah lelaki, sementara 99% kes ulangan adalah dari kaum lelaki.
(4) Profil penagih mengikut bangsa: Melayu berada pada kedudukan tertinggi dengan 69% kes baru, 67% kes ulangan, dan 68% secara keseluruhan.
(5) Profil mengikut umur ketika dikesan: bagi kes baru, kebanyakan di kesan ketika berumur 20-24 tahun dan untuk kes ulangan, ramai dikesan berumur 25-29 tahun
(6) Profil penagih mengikut jenis dadah yang digunakan: bagi kes baru dan ulangan, kebanyakannya mengunakan heroin.
(7) Profil penagih mengikut pekerjaan: kebanyakan penagih bekerja sebagai jurujual atau dalam bidang pembinaan rompakan, ragut, rempit dan bermacam bentuk pergaulan bebas lainnya.
Selain dari kegiatan-kegiatan tidak bermoral yang telah di bincangkan di atas, terdapat banyak lagi isu-isu sosial semasa yang berasaskan dari idea atau aliran hedonism ini. Secara umumnya, hedonisme itu boleh dianggap “neokolonialisme” yang dikhususkan serangannya kepada generasi muda oleh Barat. Secara jelas, konsep yang dikemukakan itu hanya mementingkan kepuasan nafsu tanpa wujudnya sebarang panduan atau batasan tertentu terutamanya ajaran agama. Gejala ini timbul berikutan kegagalan manusia memahami konsep ajaran agama yang menekankan keseimbangan antara nafsu dan akal fikiran demi kesejahteraan manusia. Budaya ini begitu cepat menular di kalangan remaja yang terpengaruh dengan keseronokan dan aktiviti yang dianggap dapat menghilangkan rasa bosan terutama remaja di bandar besar. Dengan kemunculan pelbagai pusat hiburan dan kebebasan media yang tidak dikawal ketat, hedonisme merebak dengan pantas tanpa disedari mereka.
Punca gejala ini timbul akibat kurang didikan agama. Didikan agama yang dimaksudkan ialah pendidikan yang dapat membentuk ketahanan dalaman generasi muda untuk menangkis sebarang gejala negatif yang disogokkan kepada mereka.
PENUTUP
Usaha serangan pemikiran (ghozwul fikr) yang tersebar luas telahpun diberi amaran dalam firman Allah yang menerangkan tujuan utama serangan pemikiran ini dengan ayat:
وَدُّواْ لَوْ تَكفُرُونَ كَمَا كَفَرُواْ فَتَكُونُونَ سَوَآءً۬
yang bermaksud: “Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka)” (Surah An-Nisa’, 4:89).
Rasulullah SAW juga mengingatkan umat Islam mengenai serangan pemikiran ini apabila baginda melarang umatnya daripada meniru budaya orang kafir bagi menjaga keperibadian dan karekteristik seseorang muslim.
Diantara jenis-jenis serangan pemikiran yang dapat dikenal pasti ialah pemikiran hedonism, tahyul, khurafat, bidaah, kristianisasi, terrorism, seks dan sebagainya. Namun apa yang malangnya, golongan remaja di Negara kita khususnya, sebenarnya secara tidak sedar telahpun banyak terdedah kepada pengaruh fahaman ini. Dan sekiranya tidak ada perhatian dan tindakan dari pihak-pihak yang berwajib maka pemikiran ini mampu menghancurkan Negara kita suatu hari nanti. Kesemua serangan pemikiran ini berpunca untuk menjauhkan umat Islam daripada keterikatan dengan para ulama’ dan Islam sebagai sebuah agama. Sebagaimana Firman Allah s.w.t:
وَلَن تَرضَىٰ عَنكَ ٱليُهودُ وَلَا النَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهمۡ‌ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلهُدَىٰ‌ۗ وَلئِنِ ٱتَّبَعتَ أَهوَآءَهُم بَعدَ الَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلعِلمِ‌ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ۬ وَلَا نَصِيرٍ﴿١٢٠﴾
Maksudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. (120)

0 comments: