Isnin, 6 April 2009

Rawatan


Dr Mohd Shahdan berkata, gout mudah dikawal jika pesakit mematuhi program rawatan yang sesuai untuknya. Oleh kerana kebanyakan pesakit adalah golongan berumur, pesakit yang dirujukkan kepada pakar reumatologi biasanya juga menghidap penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, sindrom metabolik dan sakit buah pinggang.
Kebanyakan rawatan ditumpukan kepada kawalan penyakit berkenaan dan mengabaikan masalah gout yang dihadapi. Akibatnya apabila gout menyerang, pesakit mungkin terpaksa dimasukkan ke hospital atau terlantar di rumah kerana tidak boleh berjalan.

Selain itu, masalah kegemukan yang semakin meningkat di kalangan masyarakat kita, termasuk pesakit gout, hanya memburukkan keadaan. Pada masa sama, pesakit perlu lebih bertanggungjawab dalam menguruskan penyakit dengan mengambil ubat mengikut arahan doktor.

Memang payah jika setiap hari perlu menelan pelbagai jenis ubat, tetapi inilah hakikat yang perlu diterima untuk menghalang serangan berulang.

Secara umumnya rawatan gout boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

a. Serangan akut

Ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID) biasanya diberi bagi mengawal kesakitan dan bengkak. Ia diberi untuk jangka pendek dan berkesan mengurangkan gejala dalam masa dua hari. Ia perlu diambil secepat mungkin sebaik mengalami serangan. Bagaimanapun, pesakit gout yang juga mempunyai penyakit lain seperti sakit jantung, ulser peptik, tekanan darah tinggi dan sakit buah pinggang perlu memberitahu doktor mengenai penyakit mereka dan ubat lain yang diambil bagi mengelak masalah lain.

Kolcisin juga boleh diberi kepada pesakit gout. Ia digunakan sejak 1,500 tahun lalu untuk merawat keradangan sendi akibat gout.

Kortikosteroid. Biasanya diberi melalui suntikan ke dalam sendi yang alami kerangan untuk mengawal serangan akut.

Perlu diketahui, ubat yang disenaraikan di atas tidak mengubah paras asid urik pesakit. Ia hanya untuk mengurangkan keradangan dan kesakitan, tetapi tidak dapat menghalang pemendapan asid urik pada sendi.

Doktor mungkin memberi ubat seperti pil allupurinol bagi merendahkan tahap asid urik yang perlu diambil setiap hari sepanjang hayat; tidak kira walaupun anda tidak lagi mengalami serangan gout. Ini adalah ubat untuk mencegah pemendapan asid urik dan mengelak serangan.

b. Rawatan jangka panjang

Menurut Perunding Reumatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Chow Sook Khuan, rawatan jangka panjang penting untuk menghentikan faktor yang boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah. Antara kaedah yang perlu dilakukan ialah:

Mengawal berat badan. Kegemukan boleh menjejaskan keupayaan badan untuk menyingkirkan asid urik

Elak minum minuman beralkohol secara berlebihan. Had dibenarkan ialah segelas wain sehari atau setin bir. Jika lebih, ia meningkatkan paras asid urik dalam darah

Minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya dua liter sehari. Tidak mengapa jika anda terpaksa berulang ke tandas banyak kali

Kawal makan. Walaupun ada ubat yang berkesan, kawalan penyakit gout lebih berkesan dengan menjaga pemakanan. Ini bukan bermakna pesakit perlu berpantang, tetapi mengurangkan pengambilan jenis makanan yang kaya purin kerana ia boleh meningkatkan paras asid urik (rujuk Jadual A). Kajian menunjukkan diet bebas purin hanya dapat mengurangkan 15 hingga 20 peratus paras asid urik. Jadi anda masih boleh makan makanan kegemaran, tetapi pada kuantiti kecil.

Pembedahan

Dr Chow berkata, pembedahan hanya dilakukan jika:

Bintil tophi menjadi sangat teruk sehingga merosakkan sendi

Tophi menyebabkan sendi terbabit hilang fungsi dan pesakit mengalami kesakitan teruk

Tophi menyebabkan gejala tekanan seperti Sindrom Terowong Karpal (pada pergelangan tangan)

Untuk tujuan kosmetik, contohnya di cuping telinga

“Memang ramai pesakit mahukan pembedahan untuk tujuan kosmetik. Malah, sesetengah pakar perubatan yang tidak faham mengenai penyakit ini mencadangkan pembedahan bagi membuang tophi. Bagaimanapun secara peribadi, saya tidak menggalakkan pembedahan bagi tujuan kosmetik kerana pembedahan tidak boleh membuang semua kristal pada sendi.

“Namun paling penting ialah luka pembedahan ini mengambil masa lama iaitu antara tiga hingga empat bulan untuk sembuh. Malah ada luka tidak bercantum dan kristal asid atau tophi berwarna keputihan seperti kapur tetap kelihatan selepas sembuh.

“Sekarang ada ubat boleh menghilangkan tophi, tetapi ia mengambil masa lama. Tophi sebesar bola pingpong mengambil masa empat tahun untuk hilang sepenuhnya, tetapi kesannya lebih baik berbanding pembedahan. Yang penting ialah pesakit perlu sabar menjalani rawatan,” katanya.


0 comments: