Sabtu, 26 Julai 2008

BERZIKIRLAH SEPERTI RASULULLAH S.A.W.

by : alitantawi

Tuntutan berzikir adalah tuntutan Al Quran dan hadith sahih. Tiada siapa dapat menafikan tuntutan ini di dalam ayat-ayat Al Quran seperti firman Allah SWT di dalam surah al Ahzab, ayat 41 dan 42 yang bermaksud: “wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (ingatlah) Allah dengan banyak dan bertasbihlah kepadanya di waktu pagi dan petang”. Hadith-hadith sahih juga banyak menceritakan tentang kepentingan zikir (sama ada dengan lisan, hati atau keduanya) seperti hadith yang diriwayatkan oleh al Bukhari (hadith no.6407) bermaksud: ‘perumpamaan orang yang mengingati Allah dengan orang yang tidak mengingati Allah adalah ibarat orang hidup dan orang yang telah mati’.

Kita juga yakin bahawa Rasulullah SAW telah pun melaksanakan tugas ‘berzikir’ dan tugas ‘mengajar’ sahabat berzikir sepanjang hayat Baginda SAW. Sekiranya cara berzikir tidak pernah diajar, maka bagaimanakah umat manusia dapat melaksanakan perintah Allah SWT di dalam Al Quran supaya mereka berzikir? Keyakinan ini membawa kepada beberapa hakikat penting untuk kita ingati selalu iaitu:

1- Para sahabat telah tahu bagaimana cara berzikir yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Ini kerana Rasulullah SAW tidak mungkin akan membiarkan para sahabatnya dalam keadaan tidak tahu. Perkara ini mustahil berlaku kerana sifat seorang rasul ialah menyampaikan segala ajaran daripada Allah SWT dan tidak menyembunyikannya.

2- Apa yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah cara berzikir yang diiktiraf oleh Allah SWT dan ‘sah’ untuk melayakkan orang yang melakukannya mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Firman Allah SWT: “dan Kami telah menurunkan kepadamu (Muhammad) az zikr (Al Quran) untuk kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka”.

3- Para sahabat telah pun mewariskan kepada para tabiin dan seterusnya sehinggalah ke zaman kita tentang cara berzikir. Kesemuanya telah dicatatkan bersama-sama catatan para pengumpul hadith. Maka sesiapa yang ingin melihat bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat berzikir, maka bacalah hadith-hadith yang telah dikumpulkan.

4- Mana-mana cara berzikir yang tidak sama dengan cara yang dilakukan oleh para sahabat bukanlah cara berzikir yang terbaik. Sekiranya kita menerima pendapat sebahagian ahli tarekat bahawa zikir dengan cara yang lain daripada cara sahabat itu ‘dibolehkan’, ia tetap tidak akan menjadi cara yang ‘terbaik’ kerana cara yang terbaik ialah apa yang telah ditunjukkan oleh para sahabat. Untuk itu Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadith riwayat al Bukhari (hadith no.2652) dan Muslim (hadith no.6635) bermaksud: ‘sebaik-baik manusia adalah generasiku (para sahabat…..’.

Mungkin ada yang akan berkata: tunjukkanlah kepada kami cara Rasulullah SAW berzikir untuk kami contohi. Maka saya akan menjawab seperti berikut:

a) Perkara pertama yang perlu kita tahu untuk mencontohi cara Rasulullah SAW berzikir ialah mengetahui zikir-zikir yang telah dibaca oleh Rasulullah SAW (begitu juga doa kerana doa juga termasuk dalam zikir). Imam al Nawawi telah berusaha mengumpulkan zikir-zikir tersebut (berbeza mengikut keadaan dan masa) dalam bukunya al Adzkaar yang ada dijual di mana-mana dalam bahasa arab, indonesia dan melayu. Beliau telah mengumpulkan sebanyak 1100 hadith yang mengandungi doa dan zikir daripada hadith. Cuma para pembaca perlulah membeli buku al Adzkaar yang telah disemak oleh pengkaji hadith kerana di dalam buku al Adzkaar terdapat hadith-hadith yang sahih dan juga hadith-hadith yang tidak sahih. Namun begitu sebilangan besar hadith-hadith yang ada di dalam buku itu adalah sahih setakat pengetahuan saya. Terdapat juga buku-buku lain yang boleh digunakan seperti Riyadhussolihin juga karya Imam al Nawawi dan lain-lain lagi.

b) Di dalam hadith-hadith yang menceritakan tentang zikir Rasulullah SAW itu sudah pun terkandung bila, bagaimana dan di mana hendak dibaca zikir tersebut. Oleh sebab itu, saya amat menggalakkan supaya para pembaca membaca hadith-hadith tersebut dan melihat di dalam maksud hadith itu kerana sudah sedia termaktub di dalamnya cara untuk melaksanakannya.

Timbul satu lagi persoalan: Bolehkah kita berzikir dengan zikir yang tidak ada dalam Al Quran atau hadith sahih? Bolehkah kita berzikir dengan zikir yang disusun oleh ulama atau guru tarekat sama ada dalam bentuk selawat, sajak-sajak atau kata-kata doa dan sebagainya? Saya perlu menjawabnya dengan mudah dan jelas untuk panduan kita semua:

1- Zikir Rasulullah SAW adalah zikir yang terbaik. Tidak ada zikir lain yang menyamai kelebihan dan fadhilat zikir yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.

2- Jika dibandingkan zikir yang telah diajar oleh Rasulullah SAW dengan zikir yang disusun oleh ulama, sudah pasti keyakinan untuk mendapatkan pahala daripada Allah SWT amat tinggi pada zikir Rasulullah SAW. ada pun zikir yang disusun oleh ulama, masih ada lagi ruang untuk kita fikirkan dan belum mencapai tahap kepastian untuk mendapatkan pahala.

3- Adakah patut kita meninggalkan zikir Rasulullah SAW dan beralih kepada zikir manusia biasa? Apakah zikir yang paling baik? Kenapa kita meninggalkan zikir yang telah diajar oleh sebaik-baik makhluk? Saya bertanya soalan ini kerana ada orang yang mengikut tarekat tertentu asyik mengamalkan zikir tarekatnya sedangkan zikir yang ada dalam hadith-hadith sahih belum pun habis diamalkannya. Bagi saya, ini adalah perbuatan yang tidak patut dilakukan. Saya tidak berani menghukum, Cuma mengajak para pembaca untuk berfikir.

Sebagai penutup, saya ingin membuat beberapa kesimpulan hasil daripada pembacaan saya terhadap hadith-hadith yang mengandungi zikir dan doa. Semoga kesimpulan ini dapat menyelesaikan persoalan yang bermain di minda sebahagian daripada kita tentang cara Rasulullah SAW berzikir:

- Rasulullah SAW berzikir dan berdoa dalam keadaan tenang dan suara yang sederhana.

- Pernah Rasulullah SAW dan para sahabat berzikir dengan suara yang kuat selepas solat (hadith riwayat al Bukhari, hadith no.841). Imam al Syafie dalam bukunya al Umm (jilid 1) menyatakan bahawa perkara itu tidaklah diamalkan sepanjang hayatnya melainkan dalam satu tempoh waktu sahaja. Maka kita dibolehkan berzikir dengan suara yang kuat tetapi perlulah dalam keadaan yang tidak terlalu kuat dan perlu juga memastikan tidak ada orang yang sedang solat akan terganggu. (Fatawa al 'Ashr - Dr. Wahbah al Zuhaili).

- Zikir Rasulullah SAW mengandungi pujian dan doa kepada Allah SWT. Tidak ada zikir Rasulullah SAW yang mengandungi kata-kata yang tidak difahami atau mengandungi ayat yang tergantung atau tidak lengkap. (Kuliah Syuaib al Arnaouth tentang zikir yang difahami, Amman, Jordan).

- Rasulullah SAW dan para sahabat berzikir dalam keadaan mereka sedar apa yang sedang dilakukan dan tidak pernah mereka melakukan gerak-geri yang kasar atau pengsan dan meraung atau menjerit. (Muqaddimah buku Sibahatu al Fikr karya al Laknawi yang ditulis oleh Abd. Fattah Abu Ghuddah, cetakan Maktab al Mathbu’at al Islamiyyah).

Menurut para ulama antaranya Ibn Qayyim al Jauziyyah dalam Zaadul Ma’ad (jilid 1), seluruh kehidupan Rasulullah SAW dianggap sebagai zikir kerana Baginda SAW mengasaskan kehidupannya dengan matlamat untuk mentaati Allah melalui percakapannya, perbuatannya, hubungannya dengan keluarga dan rakan-rakan, jihad, membaca dan mengajarkan Al Quran, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan lain-lain lagi. Maka kaedah yang mudah untuk kita berzikir ialah ‘pastikan seluruh gerak geri berada dalam ruang lingkup perkara yang disuruh oleh Allah SWT (laksanakan perintah, tinggalkan larangan) dan juga perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT (syariat membenarkannya atau mubah@harus)’. Manakala zikir dengan maksud ibadah secara lisan atau doa pula, contohilah zikir dan doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW dan diwarisi oleh para sahabat.

0 comments: